Pelajar maut berlumba pada malam tahun baharu

Pelajar maut berlumba pada malam tahun baharu

MELAKA – Seorang pelajar tingkatan enam maut selepas motosikal yang dia tunggang bergesel dengan motosikal rakannya ketika berlumba di Jalan Tun Abdul Razak, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.35 pagi itu, mangsa berusia 19 tahun yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah disahkan meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Chiristopher Patit berkata, polis menerima maklumat kemalangan kira-kira pukul 4.40 pagi di kaunter Aduan Trafik Melaka Tengah.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR datang dari arah jejambat Kota Cemerlang menuju ke arah Lampu Isyarat Taman Muzaffar Shah.

“Mangsa tiba-tiba menukar ke lorong kanan untuk memintas motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang rakannya yang juga pelajar sekolah lain berusia 17 tahun sebelum kedua-duanya bergesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, akibat kemalangan itu, mangsa telah tercampak ke atas jalan raya, manakala rakannya sempat mengawal motosikal dan terselamat tanpa sebarang kecederaan.

“Kita telah merakam percakapan rakannya bagi membantu siasatan dan setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” ujarnya.

@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE