LHDN kesan 31,598 entiti tidak lapor pendapatan sebenar


LHDN kesan 31,598 entiti tidak lapor pendapatan sebenar

“Bagi tujuan tersebut, tempoh masa yang diberikan kepada mereka untuk mengambil tindakan seperti yang dinasihatkan ialah selama satu bulan iaitu bemula dari 15 Jun 2022 sehingga 15 Julai 2022,” ujarnya.

SHAH ALAM - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesan sebanyak 31,598 entiti yang terdiri daripada individu, perniagaan, syarikat dan lain-lain yang masih tidak melaporkan pendapatan sebenar mereka.


LHDN dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan data dan analisa yang dilakukan, amaun ketirisan cukai langsung yang dialami oleh negara dianggarkan bernilai RM665 juta.


Ujar kenyataan itu, hasil risikan dan data-data lain LHDN mendapati seramai 23,751 entiti yang terdiri daripada individu manakala 7,847 lagi daripada perniagaan, syarikat serta lain-lain.


“Pengesanan entiti ini dibuat berdasarkan maklumat melalui pemilikan aset dan kemampuan entiti tersebut mengambil pinjaman atau sekuriti melebihi RM500,000 dan ke atas.


“Melihat kepada nilai anggaran ketirisan ini, ia merupakan satu amaun yang signifikan dan mampu memberi impak negatif kepada kestabilan ekonomi negara jika ia tidak segera dibendung,” kata kenyataan itu pada Selasa.


Menurut kenyataan tersebut, LHDN memfokuskan usaha menangani isu berkenaan melalui tiga pendekatan utama, iaitu kesedaran, pendidikan dan perkhidmatan (AES).


“LHDN akan terus mengamalkan tiga pendekatan ini sebagai usaha untuk menunjukkan peranan LHDN sebenarnya adalah sebagai ‘facilitator of compliance’ sekali gus menasihati 31,598 entiti khususnya 23,751 individu yang dikesan ini untuk tampil secara sukarela ke cawangan LHDN yang berhampiran dengan segera bagi mendaftar fail cukai dan melaporkan pendapatan yang sebenar.


“Bagi tujuan tersebut, tempoh masa yang diberikan kepada mereka untuk mengambil tindakan seperti yang dinasihatkan ialah selama satu bulan iaitu bemula dari 15 Jun 2022 sehingga 15 Julai 2022,” ujarnya.


Tambahnya, setelah tempoh sebulan itu tamat, LHDN akan mengambil tindakan penguatkuasaan cukai seperti audit, siasatan sivil dan siasatan jenayah terhadap entiti dan individu berkenaan yang masih gagal patuh menghantar Borang Nyata Cukai (BNC) bagi sesuatu tahun taksiran, mengemukakan penyata yang salah, dan mengelakkan diri daripada dikenakan cukai.


Jelasnya, ketidakpatuhan dan pelarian cukai itu dikenakan tindakan mengikut kesalahan di bawah Seksyen 112, 113 dan 114 Akta Cukai Pendapatan 1967.


“Sebagai maklumat tambahan, cukai pendapatan dikenakan terhadap setiap individu bagi pendapatan yang terakru atau terbit di Malaysia atau diterima di Malaysia dari luar Malaysia bagi setiap Tahun Taksiran.


“Seseorang individu yang mempunyai jumlah pendapatan melebihi nilai ambang yang ditetapkan, yang boleh dikenakan cukai perlu mendaftar fail cukai pendapatan.


“Orang ramai boleh melayari portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my bagi maklumat lanjut mengenai nilai ambang yang telah ditetapkan,” jelas kenyataan itu.


@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE